Program Latihan Khidmat Negara merupakan suatu bentuk program yang bertujuan untuk membentuk jati diri yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan remaja. Program yang berjalan selama tiga bulan ini diharapkan mampu membentuk semangat patriotik yang tinggi lantas akan memperkukuh semangat muhibah dan perpaduan yang tampaknya semakin rapuh sejak akhir-akhir ini. Maka, dimasukkanlah pelbagai modul yang dikatakan berpotensi tinggi untuk menggapai matlamat yang dimaksudkan itu sungguhpun keberkesanannya mula dipersoalkan kini.
Dalam hal ini, tidak dinafikan bahawa pengenalan program ini sebenarnya lebih menjurus ke arah menyedarkan golongan muda kita tentang peranan mereka kepada negara, bangsa, dan agama. Program ini juga jelas cuba mengeksploitasi nilai-nilai budaya yang menjadi ikutan kita dari generasi ke generasi dengan harapan dapat dijadikan sebagai benteng bagi mengharungi amukan globalisasi yang langsung tidak berperikamanusiaan itu. Serentak dengan itu, kita juga mengharapkan agar mereka yang menyertai program ini dapat menyebarkan aspirasi negara agar dapat menjadi pedoman dan pegangan hidup setiap lapisan masyarakat.
Sebenarnya proses penyerapan nilai budaya tempatan ini telah pun terkandung dalam sistem pelajaran kita. Pelajar-pelajar sekolah telah disogokkan dengan nilai-nilai ini pada hari pertama mereka melangkah masuk ke alam persekolahan sama ada di peringkat prasekolah atau di peringkat sekolah rendah. Namun begitu, pelaksanaannya pula seolah-olah tidak dipantau secara telus dan tepat sehingga mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengimplemantasikan dasar ini dibiarkan bebas membuat intepretasi mereka sendiri. Akibatnya, pelajar kita didedahkan dengan pelbagai bentuk nilai yang berbeza-beza justeru menimbulkan kekeliruan kepada mereka yang masih setahun jagung ini dan sebagai jalan keluar kebanyakannya memilih nilai asing yang kelihatan begitu mudah, bebas, dan terbuka.
Berbalik kepada PLKN ini, kita kadang-kadang terkeliru dengan haluan yang cuba dibawa oleh program ini sebenarnya. Hal ini kerana kita lihat bahawa pemilihan pesertanya sudah menampakkan kesangsian tentang ketelusan dan keterbukaannya. Sudah kedengaran suara-suara yang mempersoalkan kriteria pemilihan ini kerana hanya mereka yang daripada golongan pertengahan dan bawahan yang banyak terpilih menyertai program ini. Adakah golongan ini yang benar-benar bermasalah sehingga perlu dipulihkan? Ada juga suara-suara yang memperkatakan betapa anak-anak golongan VIP dan atasan begitu jarang terpilih sedangkan umum tahu bahawa kelompok inilah yang paling banyak mengamalkan budaya yang tidak selari dengan budaya tempatan kita.
Seperkara yang kadang-kadang menggusarkan kita ialah sikap pihak Jabatan PLKN sendiri yan seolah-olah tidak begitu prihatin dengan segala rungutan yang diutarakan oleh masyarakat berhubung dengan program ini. Usaha-usaha berbentuk proaktif bagi menangkis segala bentuk kritikan dan tohmahan terhadap PLKN ini begitu kurang dilakukan meyebabkan masyarakat kita semakin percaya bahawa progran ini sememangnya tidak bermanfaat langsung selain membazirkan masa, wang, tenaga, dan kepakaran negara. Kita juga berasa hairan dengan ketiadaan sebarang inisiatif berbentuk perhubungan awam untuk menonjolkan program ini kepada masyarakat agar mereka lebih memahami fungsi dan matlamat PLKN ini agar difahami sepenuhnya.
Contohnya, mengapakah Jabatan PLKN tidak menggunakan Filem Negara untuk menerbitkan satu program khas tentang PLKN untuk tatapan masyarakat? Dalam program ini, terangkan dengan jelas cara perjalanan program ini bermula dari proses pemilihan peserta sehinggalah hari terakhir seseorang peserta itu menamatkan latihannya dengan jaya. Dalam dokumentari ini juga, sediakan forum interaktif agar segala persoalan dapat dikemukakan dan diberikan penjelasan secara langsung. Benarkan masyarakat meluahkan segala yang terpendam tanpa sebarang sekatan bagi membuktikan bahawa tiada apa-apa yang perlu disembunyikan lagi.
Sesungguhnya, cabaran yang dihadapi PLKN sememangnya amat mencabar. Saban hari pelbagai bentuk komen yang kebanyakannya mengkritik PLKN tersiar dalam akhbar harian tanpa sebarang respons daripada pihak berkenaan. Jika perkara ini dibiarkan berlarutan, kita bimbang suatu hari nanti akan ada perintah injunksi yang akan dikeluarkan untuk menghalang pelaksanaan arahan menghadiri PLKN dalam kalangan peserta tertentu. Adakah itu yang kita mahu? Yang penting pihak berkenaan perlu bertindak sekarang untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan program ini.
Sunday, December 7, 2008
Saturday, December 6, 2008
SALAM PERKENALAN
Nama saya Mohammad Dawam bin Badiul Zaman. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Perhubungan Awam) daripada Universiti Tekonologi MARA (dulu ITM). Selama 16 tahun saya menjadi tutor bebas memberikan didikan kepada anak bangsa salam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk anak-anak yang berumur 10 hingga 18 tahun. Dalam tempoh tersebut, saya berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya yang melibatkan kerenah anak-anak remaja yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan agama.
Saya berharap melalui blog ini, dapatlah saya berkongsi pemikiran dan pendapat tentang pelbagai isu semasa.
Sekian.
Saya berharap melalui blog ini, dapatlah saya berkongsi pemikiran dan pendapat tentang pelbagai isu semasa.
Sekian.
Subscribe to:
Posts (Atom)